Kalau pergi ke Sushi King atau Secret Recipe atau mana-mana tempat yang menyediakan masakan Jepun, mesti kita akan perasan satu mangkuk sup miso disediakan bersama hidangan kan? Ha, hari ni jom kita sembang pasal miso pula.
Miso ni ialah perencah dan penyedap rasa yang kebiasaannya digunakan dalam masakan orang Jepun. Miso ialah produk penapaian kacang soya yang dicamprukan dengan garam, koji (kultur kulat Aspergillus Oryzae) bersama beras, barli atau rumpai laut.
Pes miso yang sudah siap biasanya akan digunakan seperti sos/spread (untuk sapu macam jem roti), atau sup miso atau untuk dijerukkan dengan daging atau sayur.
Miso ini kaya dengan rasa umami yang boleh menjadikan makanan lebih sedap kerana ia mempunyai asid glutamik.
Miso ini kaya dengan rasa umami yang boleh menjadikan makanan lebih sedap kerana ia mempunyai asid glutamik.
Ini tak menghairankan kerana ketika penapaian, protein dalam kacang soya itu terurai kepada kumpulan asid amino dan asid glutamik merupakan salah satu produk yang terhasil daripada penapaian kacang soya ketika pembuatan miso.
Selain menjadikan makanan lebih sedap, miso dikatakan mempunyai jumlah vitamin B12 yang banyak dan probiotik iaitu kumpulan bakteria baik yang membantu proses pencernaan dan mencegah sembelit.
Terdapat juga kajian yang mendakwa miso mampu membantu dalam mencegah dan mengurangkan risiko sakit jantung dan kanser. Ada juga kajian yang mendakwa miso ialah antara pilihan makanan sihat orang Jepun yang menjadi rahsia kepada tubuh badan mereka yang sihat dan panjang umur.