Ciapan @wanyusri16 berkenaan 'adat' makan di rumah Ayah Longnya mendapat kritikan hebat kerana kekeliruan kita memahami apa yang dimaksudkan dengan adat dalam Alam Melayu.
Bawa bertenang,ini mungkin akan jadi satu bebenang yang panjang.
1) Adat merupakan perkataan pinjaman dari bahasa Arab yang merujuk kepada sesuatu perkara yang berulang secara kerap sehingga menjadi suatu kebiasaan.
2)Manakala Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan adat seperti berikut:
3)Menurut Tengku Nasyaruddin Effendy (Pak Tenas) dalam bukunya; "Ungkapan Tradisional Melayu Riau" menerangkan tentang adat dalam alam Melayu dengan membahagikannya terhadap 4 pecahan.
4)Pembahagian adat menurut beliau adalah :
i.Adat sebenar Adat
ii.Adat yang Diadatkan
iii.Adat yang Teradat
iv.Undang Adat
5)Adat sebenar Adat merujuk kepada kebiasaan-kebiasaan asas yang dijadikan pegangan dalam membentuk suatu kerangka pedoman dalam hidup,yang intinya berasaskan agama.Sepertimana yang disebut dalam ungkapan;
"Adat bersendi syarak,Syarak bersendi Kitabullah".
6)Ungkapan lain tentang Adat Sebenar Adat:
Adat tak lekang oleh panas
Adat tak lapuk oleh hujan
Adat berwaris kepada Nabi
Adat berkhalifah kepada Adam
Adat berinduk ke ulama
Adat dianjak layu diumbut mati
Adat ditanam tumbuh dikubur hidup
(Bersambung ke no 7)
7)Adat terconteng di lawang
Adat tersurat di kertas
Adat tersirat dalam Sunnah

Pusaka yang tak dapat dirobah-robah
Warisan yang tak putus oleh cencang.

(Selesai petikan ungkapan)
8)Jadi dalam dua ungkapan klasik yang mendefinisikan "Adat Sebenar Adat" itu adalah pati ajaran Islam yang disesuaikan dengan cara hidup orang Melayu,namun tidak akan sekali-kali diubah walau berubah zaman sekalipun kerana ia telah diikat kepada hukum-hakam agama Islam.
9)Pembahagian Adat yang kedua,iaitu "Adat Yang Diadatkan".
Ini merujuk kepada hukum-hukum dalam adat secara kolektif yang menjadi pegangan di sesuatu tempat dan zaman,serta boleh berubah-ubah mengikut keadaan,sebagaimana Adat Berpakaian dalam Hukum Kanun Melaka(bersambung ke 10)
10) yang melarang jenis pakaian tertentu dipakai,hanya tertakluk pada zaman Kesultanan Melaka sahaja dan tidak lagi terpakai di zaman kita.Mudah ceritanya, Adat Yang Teradat ini juga boleh disebut sebagai Kanun,Hukum atau Undang-Undang atau juga Protokol.
11)Ungkapan tentang Adat Yang Diadatkan;

Adat yang diadatkan
Adat yang turun dari Raja
Adat yang tumbuh dari Datuk
Adat yang cucur dari penghulu
Adat yang dibuat kemudian
Putus muafakat ia berubah
Bulat kata ia berganti
Bertukar angin ia melayang
(Bersambung ke 12)
12)Bersalin baju ia tercampak
Berkisar duduk ia beralih
Berpaling tegak ia lepas
Adat yang dapat dibuat-buat
Adat yang dapat ditukar salin.
(Selesai Ungkapan)
13)Jadi ungkapan tentang Adat Yang Diadatkan jelas menunjukkan kelenturan sesebuah adat yang diangkat sebagai hukum bagi sesebuah lokaliti dan zaman,yang boleh berubah jika perlu dan tidak ada ketentuan ia mesti diikuti oleh orang lain pula.
14)Pembahagian ketiga dalam Adat iaitu Adat Yang Teradat pula merujuk kepada tabiat atau kecenderungan individu,atau sekelompok kecil masyarakat yang tidaklah dianggap sama seperti Adat Yang Diadatkan tadi.Adat Yang Teradat ini berpunca daripada kebiasaan yang berulang-ulang.
15) Ungkapan tentang Adat Yang Teradat:
Adat yang teradat
Datangnya tidak berberita
Perginya tak berkhabar
Kecilnya beranja-anja
Besarnya terbawa-bawa

Adat yang disarung tak berjahit
Adat yang berkelindan tidak bersimpul
Yang dibawa burung lalu
(Bersambung ke 16)
16)Yang tumbuh tidak ditanam
Yang kembang tidak berkuntum
Yang bertunas tidak beranting

Adat yang datang kemudian
Yang diseret jalan panjang
Yang bertenggek di sampan lalu
Yang berlabuh di atas tangan
Yang tak berurat tunggang
(Bersambung ke 17)
17)Datang angin ia terbuang
Datang panas ia lekang
Datang hujan ia lerak
(Selesai ungkapan)
18)Justeru jika diteliti dari ungkapan tentang Adat Yang Teradat, ia sememangnya suatu perkara yang rawak (random) dan tidak memiliki pola yang khusus maka ia kebiasaanya tidak diendahkan oleh masyarakat, apatah lagi diamalkan oleh orang-orang,sebagaimana Adat Yang Diadatkan.
19)Antara contoh Adat Yang Teradat ialah kebiasaan seseorang yang mengenakan topi,walaupun di tempat yang teduh atau pada waktu malam,maka ia menjadi Adat Yang Teradat untuk dirinya sahaja tetapi bukan dianggap sebagai Adat Yang Diadatkan dalam masyarakatnya.
20)Demikian juga adat terpencil yang diamalkan hanya di sesetengah kampung atau keluarga ia tidak lebih sekadar bersifat Adat Yang Teradat.Boleh disebut sebagai Adat secara umumnya tapi tidak sama seperti dua kategori Adat yang disebutkan sebelum ini.
21)Pembahagian Adat yang keempat ; Undang Adat.
Inilah yang menjadi penyatu antara ketiga-tiga jenis Adat yang disebutkan sebelum ini bagi memastikan wujudnya kesefahaman seandainya pada sebahagian orang atau masyarakat yang memiliki kelainan Adat yang Teradatnya.
22) Ungkapan berkenaan Undang Adat;

Rumah ada Adatnya.
Tepian ada bahasanya
Anak rumah tangga rumah
Berselasar tangga turun
Bertelaga jinjang naik
Minta wasiat pada yang tua
(Bersambung ke 23)
23)Minta petua kepada yang alim
Minta akal kepada yang cerdik
Minta berani kepada hulubalang
Minta daulat kepada Raja
(Selesai petikan)
24)Undang Adat ini yang sekiranya gagal difahami maka akan sentiasa timbul rasa kurang enak terhadap sesuatu Adat yang tampak berlainan,walhal peribahasa menyebut; "Lain padang lain belalang"
25)Dalam ciapan @wanyusri16 kebanyakan yang menjadi lingo(triggered) apabila beliau sekadar menyatakan ia adat orang tua-tua dahulu tanpa diterangkan,ia adat yang mana satu?
26)Ketepikan isu patriarki dan matriarki dalam perbincangan kerana memang pada sebahagian tempat di alam Melayu,Adat Yang Diadatkan mereka berlandaskan unsur Patriarki,dan sebahagian tempat pula berlandasrkan unsur Matriarki.
27)Misalan Adat Perpatih di Minang dan Negri Sembilan,lebih bersifat Matriarki berbanding tempat yang lain namun tidak timbul pergeseran mahupun perlecehan akibat ujudnya kesefahaman konsep Undang Adat antara mereka.
28)Maka sebagai penutup kepada bebenang yang panjang ini, Abang menyeru kepada kita semua untuk lebih belajar menghayati kelainan adat budaya setempat tanpa wujud stigma dan perlecehan dikeranakan kekurangan maklumat dan kejahilan kita sendiri.Sekian terima kasih.
Dah penat tulis panjang-panjang ni,takkan abang nak suruh kalian ulangciap(RT) juga kot? :)
Sudah,jangan gaduh-gaduh lagi.
Oh, maaf yang terakhir, penafian sedikit daripada abang.
Bebenang ini hanya untuk menjawab perlecehan terhadap Adat sahaja.Kalian nak marah @wanyusri16 sebab dia mengata perempuan sekarang malas dan sebagainya itu luar fokus abang.Terima kasih !
You can follow @H_Bakkaniy.
Tip: mention @twtextapp on a Twitter thread with the keyword “unroll” to get a link to it.

Latest Threads Unrolled: