Pasti ramai yang sudah pernah dengar tentang kes yang sangat tergempar pada satu ketika dulu di negara kita, sehingga mendapat perhatian dari orang luar. Masihkah anda ingat tragedi menyayat hati ini?
Nurin Jazlin Jazimin yang baru sahaja berusia lapan tahun hilang pada malam 20 Ogos 2007 di kawasan pasar berdekatan dengan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Nurin sering ke pasar malam dengan kakaknya, tetapi pada malam tersebut ibunya membenarkan dia keluar seorang diri.
Ibunya beranggapan bahawa tiada apa-apa yang akan berlaku kepada anak perempuannya itu memandangkan jarak rumah mereka dan pasar itu tidak jauh. Nurin telah keluar untuk membeli penyepit rambut di pasar tersebut. Nurin kemudian tidak pulang ke rumah dan dilaporkan hilang.
Alangkah hancurnya hati seorang ibu apabila mengetahui anaknya tidak juga dijumpai. Ibu dan bapa Nurin mencarinya dan apabila bertanya pada pihak peniaga di sekitar kawasan pasar tersebut, mereka juga tidak nampak akan kelibat Nurin pada malam itu.
Hasil rakaman CCTV menunjukkan kali terakhir dia dilihat adalah apabila dia telah ditarik masuk ke dalam sebuah van putih. Rakaman itu juga menunjukkan keadaan Nurin yang meronta-ronta cuba untuk melepaskan dirinya. Ibu bapa Nurin kemudian membuat laporan polis.
Pencariannya bermula dan terus dilakukan berminggu-minggu lamanya oleh beberapa organisasi termasuk media arus perdana dan NGO. Pihak media juga tidak henti-henti menyiarkan maklumat dan perkembangan terkini tentang kehilangan Nurin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Nurin juga diminta untuk menghubungi pihak polis. Terdapat banyak risalah telah diedarkan di seluruh kawasan bagi mencari Nurin.
Semasa kes ini berlaku, terdapat pelbagai pihak yang sanggup membantu dari segi memberi ganjaran berbentuk wang tunai jika ada sesiapa yang terjumpa Nurin.
Ibu bapa Nurin juga ada menerima pelbagai sms dari orang yang tidak dikenali akan tetapi tiada satu pun daripada pesanan itu dapat membantu dalam pencarian kehilangan anak mereka.
Berita kehilangan Nurin betul-betul memberi kesan dan impak dari segi emosi dan mental pada ramai orang. Kes kehilangan Nurin tersebar dengan begitu luas dan pencariannya tetap diteruskan tanpa henti.
Pelbagai cara lain dibuat bagi menjejaki kemana hilangnya Nurin malangnya Nurin tetap tidak dijumpai.
Pada 17 September 2007, mayat seorang budak perempuan telah ditemui di dalam satu beg gim yang diletakkan di tangga luar rumah kedai di lot PJS 1/48 Petaling Jaya oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Chen (penyelia sebuah syarikat pengedar buku).
Akan tetapi, lelaki itu beranggapan bahawa beg tersebut adalah milik pekerjanya lalu dia menghubungi pekerjanya itu untuk memastikannya tetapi beg itu bukan miliknya.
Alangkah terkejutnya Chen apabila dia membuka beg tersebut dan melihat mayat seorang budak perempuan tanpa seurat benang pun. Lalu Chen terus menghubungi pihak polis dan memaklumkan perkara tersebut.
Pihak polis percaya bahawa mayat budak perempuan di dalam beg itu telah mati lebih dari enam jam sebelum penemuan itu. Terdapat kesan lebam pada lehernya dan polis beranggapan bahawa dia telah dicekik. Identiti mayat budak perempuan itu masih tidak diketahui pada waktu itu.
Bedah siasat dilakukan ke atas Nurin dan hasil siasatan mendapati terdapat sebiji timun dan terung ditemui tersumbat di dalam farajnya dan oleh kerana itu telah menyebabkan rektumnya pecah.
Ibu bapa Nurin kemudian diminta untuk datang ke bilik mayat HKL (Hospital Kuala Lumpur) bagi membuat pengecaman. Akan tetapi, setelah mereka membuat pengecaman, ibu bapa Nurin begitu yakin bahawa mayat anak perempuan itu bukanlah anak perempuan mereka.
Ini kerana muka, warna kulit dan beberapa ciri-ciri fizikal yang ada termasuklah kedudukan gigi Nurin tidak menggambarkan seperti anak mereka. Walau bagaimanapun, pihak hospital tetap mengambil sampel darah ibu bapa Nurin untuk melakukan ujian perbandingan DNA.
Dalam masa yang sama, sementara menunggu keputusan ujian DNA, ibu bapa Nurin pasti yang mayat anak perempuan yang mereka lihat itu bukanlah anak mereka dah mereka juga percaya yang anak mereka masih lagi hidup. Mereka dan meminta tolong orang ramai untuk memberi maklumat jika ada
Jadi apa yang menyebabkan perubahan pada tubuhnya sehingga ibu bapanya tidak dapat mengenalinya dan yakin anak mereka masih hidup? Seorang doktor menjelaskan bahawa Nurin telah didera secara fizikal dan seksual oleh penculiknya.
Dia tidak diberi makan dengan betul selama lebih dari dua minggu, menjadikannya kelihatan sangat kurus. Rambutnya dipotong pendek. Dia juga telah dipukul, dan didera secara seksual.
Penyeksaan yang berpanjangan dan kesakitan yang tidak dapat dijelaskan itu menyebabkan rambut Nurin menjadi kerinting. Giginya pula menonjol kedepan kerana dia mengetap giginya terlalu keras ketika menahan sakit akibat didera.
Hasil ujian DNA menunjukkan bahawa mayat budak perempuan yang dijumpai dalam keadaan yang begitu tragis di dalam beg gim itu adalah Nurin Jazlin. Ibu bapa Nurin tidak dapat menerima dan percaya pada awalnya, jadi mereka meminta untuk melakukan ujian DNA untuk kali kedua.
Hancur hati seorang ibu dan bapa apabila mendengar keputusan DNA tersebut. Walau bagaimanapun mereka terpaksa redha dengan ketentuan ilahi.